Rancangan
Malaysia Pertama merupakan rancangan lima tahun yang pertama setelah penubuhan
Malaysia pada 1963 yang merangkumi Sarawak dan Sabah. Isu yang diketengahkan
dalam Rancangan Malaysia Pertama adalah mempelbagaikan kegiatan ekonomi dalam
sektor pertanian dan juga perindustrian. Pembukaan tanah oleh FELDA semakin
pesat. Ini membawa kepada kemunculan pelbagai projek seperti Tiga Segi Jengka,
Johor Tenggara dan Pahang Tenggara. FELCRA telah ditubuhkan pada tahun 1965
untuk membantu FELDA menjalankan pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar.
Pada tahun 1966, RIDA telah digantikan dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA)
sementara Bank Bumiputera telah ditubuhkan untuk menggalakkan penyertaan
Bumiputera dalam sektor perusahaan dan perdagangan. Penubuhan Perbadanan
Nasional Berhad (PERNAS) pada tahun 1969 bertujuan menggiatkan lagi penyertaan
Bumiputera dalam bidang tersebut.
Selain itu, MARDI
telah ditubuhkan pada tahun 1969. MARDI bertanggungjawab menjalankan
penyelidikan dan memperkenalkan teknologi bagi meningkatkan hasil keluaran
pertanian kecuali getah. Pembangunan sektor perindustrian pula dapat dilihat
dengan penubuhan beberapa agensi seperti MIDA pada tahun 1967 dan Lembaga
Penasihat Tarif. Segala program pembangunan ekonomi selama ini belum dapat
membendung masalah perpaduan kerana jurang perbezaan pendapatan antara kaum
masih ketara. Ekoran itu, Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan sebagai perancangan
pembangunan negara jangka panjang. Matlamat akhirnya adalah untuk mencapai
perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
No comments:
Post a Comment